KEMUSYKILAN AGAMA

Sinar FM membawa kepada anda kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam ruangan Kemusykilan Agama di laman web Sinar FM.


Jika anda mempunyai apa-apa permasalahan berkaitan soal-jawab agama atau isu-isu semasa, hantarkan soalan-soalan anda untuk dijawab oleh panel yang berwibawa.


 
Soalan
aslmkum
saya cuma hendak memastikan tentang waktu haram menunaikan solat. saya pernah terdengar tentang waktu haram tersebut adalah sebelum masuk waktu maghrib iaitu selepas asar, lbh kurang 10 minit sebelum maghrib. satu lagi waktu haram adalah selepas matahari terbit iatu seseorang yg hendak menunaikan solat subuh.
Jawapan
Wa'alaikumussalam wbt..Untuk makluman anda yang bertanya mengenai waktu haram menunaikan solat, berikut adalah diterangkan mengenai pembahagian keutamaan waktu solat fardhu dan waktu-waktu yang diharamkan solat sunat.



1. Keutamaan waktu solat fardhu

1.1 Waktu afdhal (utama) iaitu permulaan masuk waktu solat

1.2 Waktu ikhtiari (waktu pilihan) iaitu permulaan masuk waktu hinggalah ke akhir waktu

1.3 Waktu uzur atau waktu harus iaitu waktu yang dibenarkan bagi orang musafir menjamakkan solatnya sama ada solat jamak taqdim atau jamak ta'khir

1.4 Waktu haram iaitu di akhir waktu yang dikirakan tidak sempat untuk menyempurnakan solat dalam waktu itu



2. Waktu-waktu yang diharamkan solat sunat

Selain daripada Tanah Haram Mekah, ada lima waktu yang diharamkan solat sunat yang tiada sebab seperti solat sunat tasbih dan solat sunat mutlak; atau ada sebab yang terkemudian seperti solat sunat istikharah, sunat belayar/musafir dan sunat ihram yan tidak dikerjakan di Tanah Haram Mekah. Manakala solat sunat yang ada sebab terdahulu atau sebab berserta maka tidaklah haram solat sunat di waktu-waktu tersebut seperti solat qadha' fardhu, solat-solat sunat wudhu', tahiyyatul masjid, gerhana, jenazah, minta hujan dan nazar.



2.1 Waktu-waktu yang diharamkan solat sunat adalah seperti berikut:

2.1.1 Selepas solat subuh hingga terbit matahari

2.1.2 Selepas terbit matahari hingga tingginya sekadar segalah dari kaki langit atau tujuh hasta mengikut pandangan mata

2.1.3 Ketika matahari tegak di tengah langit hingga ianya gelincir kecuali pada hari Jumaat

2.1.4 Selepas solat asar hingga terbenam matahari

2.1.5 Ketika matahari kemerah-merahan di waktu senja hingga matahari terbenam seluruh bulatannya

 
Soalan
Saya seorang ibu dan mempunyai anak, paling muda 2 tahun. Menjelang Ramadhan ini, ingin sekali saya menunaikan solat Tarawikh. Soalannya; bolehkah saya sembahyang tarawikh di rumah dan berapa rakaat yang saya boleh buat (paling minimum) dan bagaimana cara sembahyang itu? Saya ada rujuk di buku cara sembahyang tersebuta tetapi semuanya sembahyang secara jemaah. Harap saudara/saudari dpt membantu.
Jawapan
Panel mengucapkan tahniah kepada anda yang bercita-cita untuk mendirikan solat tarawih di samping mendidik anak-anak ke arah kebaikan. Hukum solat sunat tarawih adalah sunat muakkadah (yang sangat dituntut) bagi didirikan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan sama ada secara sendirian atau berjemaah. Sunat didirikan di masjid, surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam. Walau bagaimanapun, solat sunat tarawih boleh juga didirikan di rumah. Waktu solat sunat tarawih ialah selepas menunaikan solat isyak di bulan Ramadhan.

Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja. Cara solat sunat tarawih ialah dimulai dengan Takbiratul Ihram berserta niat "Sengaja aku sembahyang sunat tarawih 2 rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala." Kemudian ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap satu kali Takbiratul Ihram sehingga selesai salam. Kemudian didirikan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun-rukun solat sunat tarawih sama sahaja dengan rukun-rukun solat yang lain. Sebagaimana biasa selepas membaca surah al-fatihah pada tiap-tiap rakaat solat tarawih dibaca pula surah-surah tertentu. Dari malam 1 hingga 15 Ramadhan pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Takathur hingga surah al-Lahab. Susunan surah-surah sila lihat al_Quran.

Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca surah al-Ikhlas. Dari malam 16 hingga akhir Ramadhan pada tiap-tiap rakaat yang pertama selepas membaca al-fatihah dibaca surah al_Qadr dan pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadhan. Selepas selesai solat sunat tarawih boleh diikuti dengan solat sunat witir sebanyak 3 rakaat dengan 2 salam (2 rakaat 1 salam dan 1 rakaat 1 salam). Pada rakaat ketiga selepas bacaan doa iktidal (Rabbana lakah Hamdu.) disunatkan membaca doa qunut (seperti bacaan pada solat subuh) sehingga sempurna rukun dan solatnya. Bagi menyempurnakan solat ini puan adalah dinasihatkan supaya mendirikannya di masjid supaya lebih jelas dan praktikal.
 
Soalan
assalamualaikum disini saya ada kemuskilan,jika kita memasukan cecair kedalam mata cotohnya eyemore dikira batal puasa,tapi bagaimana pula dengan pemakaian contectlense.
Jawapan

Wa'alaikumusalam w.b.t. Hukum bagi  orang yang berpuasa jika sekiranya beliau menitikkan ubat ke dalam mata atau memakai contectlense adalah tidak batal puasanya.
 
Soalan
salam sejahtera.
minggu lepas jiran saya telah kembali ke Rahmatullah. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir lebih kurang jam 6.15 petang dan diputuskan akan dikebumikan pada esoknya jam 11.00 pagi. Ini bererti jenazah beliau akan berada di rumah pada malam itu sehinga esok. Lazimnya di tempat saya akan diadakanlah majlis tahlil pada malam itu dan kebiasaannya 3 malam berturut-turut. Tapi salah seorang anak simati yang tinggal di lain tempat dan pulang sekali sekala ke kampung dan tidak diketahui di mana pengajian agamanya telah melarang diadakan majlis tahlil pada malam itu kerana katanya tidak boleh dibuat tahlil kerana jenazah masih berada di rumah. Tahlil boleh dibuat di rumah setelah jenazah dikebumikan. Adakah benar begitu?
Jawapan
Hukum mengadakan majlis tahlil kepada arwah adalah harus dengan tujuan untuk  memohon kepada Allah SWT supaya menyampaikan pahala-pahala bacaan al-Quran,zikir,tahlil dan doa kepada si mati sama ada sebelum dikebumikan atau sesudah dikebumikan.
 
Soalan
Assalamualaikum,

Saya berada di Eropah menghadiri kursus melebihi 6 bulan. Persoalan saya adalah hingga kini saya belum mampu memakan makanan dari ayam dan daging kerana was2 dgn kesahihan halal di sini. Apa pandangan ustaz
Jawapan

Wa'alaikumussalam wbt.
Panel sangat menghargai sikap saudara kerana sangat sensitif mengenai makanan halal dan haram. Justeru sekiranya saudara mampu menahan diri daripada memakan makanan dari ayam dan daging kerana kesahihan halal maka teruskanlah keadaan sedemikian. Berdasarkan Hadis Nabi SAW yang bermaksud " Tinggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan ".
                                                    ( Bukhari Dan Muslim )
 
Soalan
Saya pernah berkahwin dan mempunyai 3 org anak dan kini saya serahkan hak penjagaan kpd bekas suami saya. Kini saya telah berkahwin baru dan mempunyai seorg anak.Suami baru saya tidak mahu menerima anak saya yg 3 org tu, kerana perasaan dendamnya kpd bekas suami saya yg memperlakukan aniaya kpd saya ketika dulu.Dia juga tidak membenarkan lansung saya berhubung dgn anak2 saya itu. Saya terpaksa berjanji tidak akan berhubungan dgn mereka kerana suami baru ni memberikan kata dua kpd saya, jika saya berhubungan dgn anak2, jgn tinggal dgn dia lagi. Saya pula terpaksa berjanji kerana dia mengatakan syarat itu setelah kami berkahwin dan saya amat sayangkan dia dan anak.Hubungan ibu dan anak2 takan putus, saya tetap berhubung dgn anak2 melalui ibubapa saya yg tinggal berhampiran dgn rumah anak2 saya tinggal. Masalahnya, saya merasa amat berdosa kerana berbohong kpd suami baru saya ni, tapi saya tak boleh berterusterang kerana dia amat kerashati malah tidak mahu langsung saya menyebut nama anak2 saya itu. Saya tiada tempat untuk mengadu. TOLONGLAH JAWAB SOALAN SAYA INI KE E-MEL INI. Terima kasih.
Jawapan

Panel sangat prihatin dengan masalah yang menimpa diri puan. Sesungguhnya ibarat hubungan akrab ibu bapa dengan anak dan hubungan suami dengan isteri seumpama isi dengan kuku atau seperti aur dengan tebing. Justeru bawalah berbincang dengan suami pada waktu yang sesuai mengenai masalah ini supaya puan tidaklah menanggung derita akibat putus hubungan dengan anak. Puan dicadangkan mencari pihak ketiga yang warak dan disegani oleh suami puan supaya dapat memberikan  nasihat kepada suami puan tentang perkara tersebut.  

 

Hantar Pautan ke dalam Penanda Buku Sosial Anda!

  • ADD TO DEL.ICIO.US
  • ADD TO DIGG
  • ADD TO FURL
  • ADD TO TECHNORATI FAVORITES
  • ADD TO REDDIT
  • ADD TO STUMBLEUPON
  • ADD TO YAHOO MYWEB